Thursday, July 29, 2010

kalau 1

Kalau saya bukan pelajar UiTM sekarang, pasti saya masih bekerja sebagai juruwang di Jusco Bandar Baru Klang (BBK) yang berjaya.
Kesusahan hidup memaksa aku untuk bekerja sesudah tamatnya peperiksaan Sijil Pengajian Malaysia. Aku berusaha memerah keringat dalam mencari wang dengan hasil usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa. Lokasi yang paling strategik untuk bekerja adalah di Jusco BBK oleh kerana lokasinya yang hanya mengambil masa 20 minit berjalan kaki dari rumah. Hal ini dapat membantu aku dalam memaksimakan keuntungan yang aku peroleh pada awal bulan depan. Kerja di bawah orang bukanlah sesuatu yang aku impikan, lagi-lagi apabila bermajikankan syarikat Jepun (AEON) yang pada suatu ketika dahulu pernah menjajah Negara kita. Aku dapat bayangkan bagaimana peritnya siksaan yang dihadapi oleh darah daging dan saudara-saudara islamku pada ketika itu. Tetapi apa yang dapat aku lakukan kerana aku tiada alternatif lain dalam meneruskan kehidupanku untuk mengecap kesenangan secara perlahan-lahan. Aku sangat takut untuk mengimpikan sesuatu yang mustahil untuk aku kecapi maka jalan penyelesaiannya ialah dengan tidak mengimpikan apa-apa selain daripada menjalani kehidupan seperti manusia yang gigih bekerja dan menempatkan diri pada satu posisi yang selesa dengan bermula daripada bawah. Setelah berjaya menempatkan diri ke posisi yang selesa bagiku, aku seterusnya akan mencari seorang lelaki yang kukira boleh menjamin masa depanku serta berupaya dalam memberikan nafkah zahir dan batin tidak dilupakan juga, boleh menjadi tunggak keluarga terutamanya dari faktor agama. Pada saat itu, bermulalah tanggungjawabku sebagai isteri kepada seorang lelaki. Menghadapi alam perkahwinan adalah sesuatu yang aku harapkan sama seperti apa yang telah aku bayangkan mengenai betapa manisnya alam berumah tangga yang sememangnya aku akui akan kesukaran yang bakal aku hadapi. Kahwin atas dasar cinta adalah sasaranku. Cinta dalam konteks wanita yang bernama Rabiatul Adawiyah Binti Suhaimi ialah merangkumi dua faktor yang paling asas iaitu cinta yang melibatkan perasaa dan yang seterusnya, cinta yang melibatkan faktor kewangan seseorang lelaki itu. Aku tahu aku akan sangat berjaya jika bergelar isteri kelak kerana aku akan berusaha gigih dalam menguruskan perihal keluargaku.
Kesusahan hidup ialah sesuatu yang abstrak. Kesusahan hidup yang aku maksudkan di dalam situasi aku ialah lebih memberat kepada tragedi yang telah terjadi sepanjang lahirnya aku, Rabiatul Adawiyah Binti Suhaimi di atas muka bumi ini yang meliputi perihal kematian, konflik keluarga dan kewangan. Arwah babah pergi sewaktu sehari sebelum genapnya umurku 8 tahun. Mamalah yang membesarkan kami enam beradik setelah pemergian arwah babah. Bermula daripada hari itu, kesusahan hidup datang dalam pelbagai cara dan bentuk yang disertai oleh masalah kewangan. Bermula daripada saat itu, segala kemahuanku telah aku bataskan kerana memahami akan krisis yang sedang keluarga aku alami pada ketika itu. Mama sangat tabah dalam mengharungi segala halangan dan cabaran dalam menbesarkan kami enam beradik.