Wednesday, August 11, 2010

Rasuah Satu Jenayah, Kenapa Dipolitikkan?

"Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih) ialah hadith yang memperkatakan mengenai jenayah rasuah dan sememangnya jenayah rasuah kini semakin berleluasa di Negara kita sendiri terutamanya dikalangan kakitangan kerajaan. Perkataan rasuah dipetik dari bahasa latin iaitu corruptio daripada kata kerja corrumpere yang membawa maksud busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok. Jika dilihat dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi.

Pada 15 Julai (khamis) yang lalu bertempat di Dewan Sri Bestari, Intekma Resort telah berlangsungnya satu forum akademik yang bertajuk, “Rasuah Satu Jenayah, Kenapa Dipolitikkan?". Moderator yang bertanggungjawab dalam mengendalikan majlis ilmu tersebut adalah Dr. Abu Bakar Tandu. Majlis dimeriahkan lagi dengan penglibatan empat orang ahli penel iaitu YBhg. Datuk Azman Ujang (Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (SPRM), YBhg. Dato Paul Low (President, Transperency International Malaysia ), Dr. Ridhuan Tee Abdullah (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum & Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan, En. Akhbar Satar (Pengarah Akhbar & Associates). Forum yang berlangsung tepat pada jam 2.30 petang itu juga disertai oleh pelajar- pelajar dari Fakulti Komunikasi & Media, Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, dan Undang- undang.

Forum yang terbahagi kepada empat segmen itu membincangkan perihal jenayah rasuah di kalangan ahli politik iaitu termasuklah pandangan ahli panel terhadap isu ini, soalan- soalan umum yang perlu dijelaskan mengikut kepakaran masing- masing, diikuti dengan kupasan mengenai isu dan diakhiri dengan sesi soal jawab. Perkara yang hangat diperbincangkan adalah mengenai peranan sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dalam mengatasi isu ini. Peranan yang dimainkan oleh pihak media juga turut menjadi persoalan dalam perbincangan tersebut. Isu yang telah dibangkitkan adalah mengenai peranan media yang sebenar, sama ada untuk menjatuhkan atau sekadar melaporkan. Suasana menjadi kian gamat apabila isu keagamaan dibangkitkan oleh ahli panel terutamanya apabila Dr. Ridhuan membuat perbandingan di antara makan babi dan makan rasuah, mana yang menjadi pilihan. Beliau juga turut menggariskan tiga faktor yang telah menyebabkan berlakunya jenayah rasuah iaitu faktor harta, takhta dan wanita. Ketiga- tiga faktor yang telah dinyatakan panel dilihat sangat logik kerana perkara- perkara tersebut merupakan kelemahan terbesar seseorang individu.

Selain daripada itu, ahli panel turut menyenaraikan kes- kes rasuah terdahulu. Tan Sri Eric Chia Eng Hock dan Dr Mohamad Khir Toyo adalah antara nama- nama besar dikalangan ahli politik yang terlibat dalam isu kotor ini. Berdasarkan kes- kes yang telah berlaku, diharapkan nama- nama besar di kalangan ahli politik dan juga masyarakat Malaysia yang lain akan berusaha sedaya upaya dalam menghindari serta memerangi jenayah rasuah.

Rasuah sememangnya satu jenayah yang harus diperangi bagi menjaga kebajikan bersama. Setiap agama melarang penganutnya dari melakukan jenayah rasuah kerana hal ini hanya akan memberikan kesan yang negatif terhadap pengamalnya. Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada ingin berubah ataupun tidak. Rasuah sememangnya satu jenayah dan tidak patut dipolitikkan.

NichtViel <3