Saturday, August 7, 2010

kalau 2

Ibarat beruang kutub yang sesat di kutub selatan, itulah ayat yang boleh menggambarkan diriku yang sedang menuntut di dalam bidang kewartawanan ini. Berdasarkan kamus Oxford fajar cetakan ke-2 tahun 2001, bidang kewartawanan ditafsirkan sebagai kerja mengumpul,menulis, mengedit, dan menerbitkan bahan-bahan dalam surat khabar,majalah, atau televisyen dan radio yang sememangnya tidak wujud walau sebesar zarah pun kewibawaan diriku yang boleh dikaitkan dengan bidang yang sedang aku ceburi ini. Mempunyai pendirian hidup, bermotivasi diri, mempunyai pendapat sendiri dalam membuat keputusan, dan segala macam lagi perkara yang berkaitan dengan keyakinan diri bukanlah ‘aku’. Pada saat semua rakan-rakanku sibuk membincangkan perihal cita-cita sewaktu menuntut di darjah enam, aku pula masih lalai bermain getah bersama rakan-rakan seangkatanku tanpa sedikit pun wujud perasaan risau tentang pelajaran dan cita-cita yang akhirnya berlarutan sehingga aku berada di tingkatan lima,menghadapi peperiksaan SPM tanpa persediaan yang secukupnya dan hanya belajar sekadar untuk lulus peperiksaan. Mama adalah insan yang tidak pernah penat dalam memberikan pendapat dalam aku menjalani kehidupanku sehingga ke hari ini. Segala keputusan yang aku lakukan adalah berpandukan pada pendapat mama yang aku umpamakan seperti penunjuk arah agar selamat sampai ke destinasi yang telah ditetapkan. Mama tidak begitu tegas dalam memberikan arahan, bahkan bertindak seperti rakan baikku yang setia. Katanya, aku sedang lakukan perkara-perkara yang dia tidak berpeluang lakukan sewaktu meniti kehidupan sebagai anak remaja kerana pada usia seawal 18 tahun mama telah mendirikan rumah tangga da atas dasar ‘cinta’. Aku juga bersyukur kerana cinta jugalah, lahirnya aku di muka bumi Allah S.W.T. yang sememangnya penuh dengan dugaan dan cabaran yang tidak pernah putus tetapi semangat aku masih teguh dalam mengharungi segala liku-liku hidup ini seteguh menara KLCC yang tingginya setinggi 88 tingkat dan 452 meter yang masih teguh berdiri walaupun telah dijejaki oleh jutaan pasang kaki.